Manfaatkan Sebaiknya Dana Fasilitasi Pertanian: Datu Len

UKAS  > Edisi-Tengah >  Manfaatkan Sebaiknya Dana Fasilitasi Pertanian: Datu Len
0 Comments

JUMAAT, 16 JULAI 2021

SARIKEI: Seramai 102 usahawan kecil menerima bantuan pelbagai peralatan menerusi Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) DUN Kuala Rajang.

Menurut Menteri Muda Perancangan, Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, DUN Kuala Rajang telah diperuntukkan sebanyak RM1.5 juta yang terbahagi kepada Zon Sarikei dan Zon Tanjong Manis di mana setiap zon akan diperuntukkan RM750,000.

Beliau yang juga ADUN Kuala Rajang berkata, Jabatan Pertanian telah dipertanggungjawab selaku agensi penyelaras dan pengagihan projek bantuan peralatan tersebut.

Katanya, Projek AFF itu meliputi penternakan kelulut, Agromakanan (General Hardware dan Food Processing) dan tanaman (fertigasi).

“Kerajaan GPS yang menyediakan bantuan-bantuan untuk membeli perkakas-perkakas untuk peniaga kecil.

“Harapan saya supaya peruntukan daripada Kerajaan Negeri ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh mereka yang berjaya.

“Insyaallah dalam masa yang tersepit seperti ini, mereka masih dapat meneruskan perusahaan mereka dalam bidang masing-masing terutama dalam bidang makanan dan sebagainya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan simbolik penyerahan bantuan itu di Pejabat Pertanian Bahagian Sarikei pada Jumaat.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian Sarikei, Rainy Yaman menjelaskan pelbagai projek dilaksanakan di bawah peruntukan projek AFF tersebut.

Salah seorang penerima bantuan yang merupakan pengusaha roti dan kek, Dinah Jidi amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Datu Len di atas bantuan tersebut dan yakin ia akan dapat membantu meningkatkan lagi perniagaannya selepas ini. – EDISI UKAS