Premis Taman Selera Harmoni Dibenar Beroperasi Jika Peniaga, Pekerja Sudah Divaksin

UKAS  > Edisi-Tengah >  Premis Taman Selera Harmoni Dibenar Beroperasi Jika Peniaga, Pekerja Sudah Divaksin
0 Comments

SABTU, 17 JULAI 2021

SIBU: Taman Selera Harmoni hanya akan membenarkan operasi premis secara ‘dine-in’ di situ sekiranya para peniaga termasuk pekerja mereka sudah menerima suntikan vaksin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Mohd Izkandar Abdullah berkata, sekiranya para peniaga termasuk pekerja belum divaksin, mereka tidak dibenarkan untuk menjalankan operasi secara ‘dine-in’ dan hanya akan dibenarkan untuk ‘take away’ sahaja.

“Satu pendekatan kepada orang ramai, jika ingin membuka kedai haruslah sekurang-kurangnya telah mempunyai satu dos vaksin atau pun telah lengkap dua dos,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi permis di Taman Selera Harmoni pada Jumaat.

Beliau memberitahu lagi, semasa pemeriksaan itu, pemilik premis atau pekerja didapati tidak membawa kad manual yang dapat membuktikan mereka telah pun divaksin dan terdapat juga yang tidak membawa telefon mereka.

Tambah Mohd Izkandar, sekiranya tidak dibuat pemantauan, mungkin terdapat segelintir peniaga dan pekerja yang seakan lupa atau tidak mengambil peduli hal tersebut.

Dalam pada itu, beliau menambah, tiada penguatkuasaan dibuat dan peniaga diberikan nasihat dan diberitahu mengenai perkara yang harus dibuat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Islam Taman Selera Harmoni Sibu, Abdul Taib Rosli berkata, rata-rata peniaga di Taman Selera Harmoni sudah divaksin manakala 0.5 peratus dalam kalangan pekerja pula belum mendapatkan vaksin.

Namun begitu, ujarnya masih terdapat para peniaga yang masih risau serta khuatir untuk membuka kedai mereka dan ada yang ingin melihat senario permintaan pelanggan.

Beliau turut memaklumkan, pihak Majlis Perbandaran Sibu (SMC) akan memperketatkan operasi di situ dan hanya membenarkan seorang pemilik kedai dan dua orang pekerja sahaja untuk satu premis.

“Memandangkan meja makan di Taman Selera Harmoni adalah berbentuk kekal dan tidak dapat dialih, maka pihak SMC telah memalang meja untuk menunjukkan meja tersebut adalah dilarang untuk diduduk dan hanya dua orang sahaja dibenarkan untuk duduk pada satu meja.

“Kanak-kanak yang berumur bawah 12 tahun adalah tidak digalakkan untuk dibawa bersama kerana keadaan masih belum begitu baik,”ujarnya.

Justeru beliau berkata, di pintu masuk akan ditempatkan seorang pengawal keselamatan bagi memastikan pengunjung untuk mengimbas kod menggunakan My Sejahtera atau pun menulis nama di buku kunjungan yang disediakan.

“Ianya juga bertujuan bagi mengenal pasti kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

“Selain itu, dengan adanya MySejahtera, pelanggan dapat dilihat rekod vaksinasi mereka sama ada dos pertama atau pun sudah selesai dos kedua mereka,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS