‘Walk-In’ Dibenarkan Dengan Cara Lebih Sistematik, Elak Kesesakan Di PPV

UKAS  > Edisi-Selatan >  ‘Walk-In’ Dibenarkan Dengan Cara Lebih Sistematik, Elak Kesesakan Di PPV
0 Comments

JUMAAT, 23 JULAI 2021

KUCHING: Kebenaran untuk semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada rakyat secara ‘walk-in’ merupakan usaha kerajaan bagi mempermudahkan rakyat mendapat vaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian menjelaskan, namun begitu para penerima perlu membuat janji temu terlebih dahulu dengan menghubungi hotline Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) masing-masing, dan menghantar maklumat mereka melalui WhatsApp.

Menurut beliau, talian tersebut kemudian akan memberitahu lokasi untuk mereka mendapatkan vaksinasi dengan cara yang sistematik bagi mengelak kesesakan di pusat vaksinasi.

“Walk-in tidak dibenarkan lebih awal di negeri ini kerana kita tidak mahu berlaku kesesakan yang mana rakyat pergi beramai-ramai ke PPV dan beratur panjang di bawah terik matahari.

“Penerima harus membuat janji temu dengan menghubungi hotline JPBD masing-masing, dan menghantar nama, nombor MyKad dan alamat mereka melalui WhatsApp.

“Talian tersebut kemudian akan memberitahu mereka di mana untuk mendapatkan vaksinasi mereka, dengan secara sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Peladang Prihatin di Hospital Umum Sarawak di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menjelaskan, hampir semua rakyat Sarawak yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera telah divaksinasi.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa rakyat Sarawak yang belum diberi vaksin akan mendapat vaksin mereka tidak lama lagi.

“Rakyat Sarawak tidak perlu panik kerana mereka akan mendapat peluang untuk divaksinasi kerana kita sedang menunggu orang untuk mendapatkan vaksinasi,” ujarnya.-EDISI UKAS