KMKK Digesa Turun Padang Kenal Pasti Penduduk Memerlukan Bantuan Makanan Segera

UKAS  > Edisi-Utara >  KMKK Digesa Turun Padang Kenal Pasti Penduduk Memerlukan Bantuan Makanan Segera
0 Comments

ISNIN, 26 JULAI 2021

LIMBANG: Program Ziarah UKAS anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) merupakan suatu usaha yang sangat murni dalam membantu meringankan beban golongan terjejas akibat penularan COVID-19 seperti Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah memberikan sumbangan makanan seperti Bantuan Bekalan Makanan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 dan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) serta agensi kerajaan lain bagi meringankan beban rakyat. 

“Sekarang ini, penduduk kampung yang tertekan dan tidak mempunyai bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini boleh memaklumkan kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk diusahakan dan dipanjangkan kepada agensi yang berkaitan.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan setiap rakyat mempunyai makanan bagi mengharungi kehidupan hari esok,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS yang diadakan di Perkarangan Masjid Darul Muttaqin, Kampung Gadong pada Sabtu. 

Seramai 50 orang penduduk dari kawasan persisir Sungai Limbang seperti Kampung Sangkarai, Kampung Lupak Rangas, Kampung Gadong, Kampung Lubok Pangie, Kampung Pandam, Kampung Lubok Piasau dan Kampung Lubok Sigantang menerima bakul makanan. 

Terdahulu, beliau telah merasmikan Dewan Mini Masjid Darul Muttaqin, Kampung Gadong dengan kos pembinaannya sebanyak RM130,000. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota meminta KMKK sentiasa turun padang menjenguk ke rumah di bawah kawasan mereka dan memastikan tiada rumah yang kekurangan makanan.

Hadir sama Pemanca Abu Bakar Tinggal, Penghulu Ahmad Bini dan Penghulu Dulahpi Bakar. -EDISI UKAS