Pelbagai Kaedah Digunakan Untuk Pastikan Penduduk Daerah Limbang Capai 80 Peratus Imuniti Kelompok

UKAS  > Edisi-Utara >  Pelbagai Kaedah Digunakan Untuk Pastikan Penduduk Daerah Limbang Capai 80 Peratus Imuniti Kelompok
0 Comments

ISNIN, 26 JULAI 2021

LIMBANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan bagi memastikan penduduk di Daerah Limbang mencapai 80 peratus Imuniti Kelompok. 

Menurut Menteri Muda Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, untuk mencapai Imuniti Kelompok, kerjasama semua pihak penting terutama mereka yang belum mendaftar atau yang belum mendapat suntikan vaksin COVID-19.

“Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) perlu mendaftar dan melaporkan sesiapa sahaja yang di bawah jagaan mereka yang belum mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19 ke Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Limbang dengan kadar segera.

“Di samping itu, pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Limbang dan Program ‘Outreach’ Vaksinasi ke kawasan luar bandar dan pedalaman serta Program ‘Mopping’ mengenal pasti individu yang terlantar di rumah tidak dapat hadir ke PPV berdekatan,” katanya semasa berucap dalam Program Ziarah UKAS di Perkarangan Masjid Darul Taqwa, Kampung Bakol pada Sabtu. 

Seramai 50 orang penerima dari enam buah kampung iaitu Kampung Berawan, Kampung Tegarai, Kampung Bakol, Kampung Bangkuati, Kampung Bukit Luba dan Kampung Agong Tua yang terletak di Jalan Batu Danau Limbang menerima bantuan makanan. 

Mengulas mengenai Program Ziarah UKAS, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Limbang mengucakan terima kasih kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) atas sumbangan makanan ini.

“UKAS ini merupakan sebuah agensi kerajaan yang berperanan menerangkan dasar dan program Kerajaan Sarawak menerusi siaran langsung atau ‘live telecast’ menerusi media sosial. 

“Dalam program kemasyarakatan ini, UKAS turut membantu golongan yang terkesan akibat penularan wabak pandemik COVID-19 seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal,” ujarnya. 

Hadir sama Pemanca Abu Bakar Tinggal, Penghulu Yusop Dullah, Ketua Kampung Kalong Tembol, KK Wahab Mokhtar, KK Kassim Adam, KK Jamil Taras, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) James Tai dan Abdul Apong Lanah. -EDISI UKAS