115 Surat Kelulusan Skim Pembesaran Kampung Rajang Baru Diagihkan

UKAS  > Edisi-Tengah >  115 Surat Kelulusan Skim Pembesaran Kampung Rajang Baru Diagihkan
0 Comments

ISNIN, 9 OGOS 2021

RAJANG: Sebanyak 115 Surat Kelulusan bagi Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Rajang Baru dan Belawai telah disempurnakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh di Dewan Masyarakat Kampung Rajang pada Sabtu.

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar demi manfaat dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan telah melaksanakan projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air serta bekalan elektrik.

Antara lain inisiatif Kerajaan GPS Sarawak ialah mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus bagi lot kediaman di semua SPS dan SPK dan tidak melebihi RM2,500 untuk satu lot.

Semua ini dilaksanakan bagi meringankan bebanan rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim-skim berkenaan untuk menyelesaikan pembayaran premium.

Jelas sekali projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat khususnya di Kampung Rajang sekaligus membuktikan bahawa segala yang telah dirancang Kerajaan GPS Sarawak pasti dilaksana demi kesenangan dan kesejahteraan rakyat.

Datu Len dalam pada itu berharap agar penduduk yang telah mendapat lot masing-masing membina segera rumah kediaman impian mereka bagi memenuhi tujuan asal penyediaan skim SPS dan SPK.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Jabatan Tanah dan Survei yang komited dalam memastikan projek ini terlaksana.

Hadir sama Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Mukah Emmy Zurina Omar, Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah dan Pemanca Morshidi Moris. – EDISI UKAS