Kerajaan Sarawak Perkasa Golongan OKU, Depani Pandemik COVID-19

KHAMIS, 12 OGOS 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak sentiasa berusaha untuk memperkasakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.

Menterinya,  Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kementeriannya telah merangka pelan tindakan untuk OKU di Sarawak bagi mendapatkan input daripada Pertubuhan Sukarela Kebajikan OKU tentang isu semasa bagi merangka dasar baharu dalam mendepani pandemik COVID-19.

Menurutnya, pelan tindakan OKU penting bagi memastikan golongan terbabit lebih produktif dan inklusif dalam masyarakat.

“Kerajaan negeri telah berkerja keras untuk menjadi sebuah negeri yang maju pada tahun 2030, namun kemajuan negeri ini tidak akan dapat mencapai definisi kemajuan yang sebenar jika kumpulan yang rentan seperti golongan OKU tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Pemerkasaan OKU bertempat di Wisma Wanita di sini pada Khamis.

Dato Sri Fatimah turut berkongsi inisiatif kerajaan dalam memperkasa serta menyantuni golongan OKU di Sarawak, sekaligus merancang hala tuju pemerkasaan komuniti OKU di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), Noriah Ahmad memberitahu, seramai 40,737 OKU telah mendaftar dengan JKMS.

Katanya, mereka telah menerima pelbagai bantuan seperti elaun bulanan, bantuan penjagaan OKU iaitu bagi pesakit terlantar serta bantuan oku tidak berupaya untuk bekerja. -EDISI UKAS