Kerajaan GPS Fokus Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat

UKAS  > Edisi-Tengah >  Kerajaan GPS Fokus Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat
0 Comments

SABTU, 14 OGOS 2021

PAKAN: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menitikberatkan pembangunan serta kesejahteraan rakyat di Sarawak dengan menyediakan pelbagai bantuan dalam mendepani penularan pendemik Covid-19 ketika ini.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Tindakan Pemulihan bagi memastikan Sarawak mempunyai perancangan mantap untuk menangani Covid-19 serta dapat membangun semula menuju ke arah negeri maju pada tahun 2030.

Ujarnya, fokus utama Kerajaan Negeri ketika ini adalah untuk membangunkan infrastruktur menggunakan pendapatan tambahan agar Sarawak seiring dengan negeri-negeri di Semenanjung.

“Inilah yang hendak Kerajaan Negeri buat sekarang. Kalau kita mempunyai infrastruktur yang bagus, kita dapat membangun secara fizikal, ekonomi dan sistem sokongan untuk rakyat yang miskin juga banyak,” katanya berucap semasa menyampaikan Taklimat Bantuan Kebajikan di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Pakan pada Sabtu.

Menjelas lanjut, Dato Sri Fatimah memberitahu Sarawak satu-satunya negeri yang memberikan bantuan sokongan kepada rakyatnya.

Beliau memberi contoh ‘Endowment Fund Sarawak’ yang membolehkan setiap anak Sarawak yang dilahirkan menerima RM1,000 dari Kerajaan Negeri dan boleh dikeluarkan apabila mereka berusia 18 tahun bagi tujuan pendidikan.

Ujarnya, selain ‘Endowment Fund Sarawak’, Kerajaan Negeri menerusi kementeriannya turut menyediakan Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Geran Tahunan Khas (GTK), Kenyalang Gold Card (KGC), Bantuan Ihsan Kematian (BIK) dan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang.

“Tiada tempat lain yang memberi bantuan sokongan kepada rakyatnya seperti yang dilakukan oleh Negeri Sarawak,” katanya.

Sementara itu, ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Dato Sri Fatimah di atas kesudian beliau melawat kawasannya.

Menurutnya, kedatangan Dato Sri Fatimah di Pakan untuk menyerah dan menerangkan pelbagai bantuan dari kerajaan amat bererti kepada masyarakat di konstituensinya.

Dalam majlis tersebut, Dato Sri Fatimah telah menyampaikan pelbagai bantuan seperti Geran Tahunan KHAS kepada SK Kebangsaan Nanga Semawang, Kenyalang Gold Card (6 penerima), Bantuan Khas Ihsan Kematian (3 penerima), Rakan Strategik KGC (2 penerima), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (1 penerima) berjumlah RM30,800 ‘Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis’ (CAPD), Kad OKU (10 penerima) dan Bantuan Kewangan Kerajaan kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) meliputi PPDK Sarikei, Meradong dan Julau.

Program taklimat itu diadakan bagi mempromosi perkhidmatan KWKPK dan JKM kepada masyarakat setempat serta menggalakkan lebih banyak penyertaan sebagai Rakan Strategik KGC. – EDISI UKAS