Hujan Lebat Luar Biasa Mengakibatkan Banjir Kilat Di Tudan, Permyjaya Dan Desa Senadin

UKAS  > Edisi-Utara >  Hujan Lebat Luar Biasa Mengakibatkan Banjir Kilat Di Tudan, Permyjaya Dan Desa Senadin
0 Comments

JUMAAT, 3 SEPTEMBER 2021

MIRI: Hujan lebat yang turun melebihi 58 milimeter (mm) dan luar biasa pada Khamis telah menyebabkan kawasan sekitar perumahan Tudan Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, Fasa 6, Desa Senadin dan Permyjaya mengalami banjir kilat.

Sejurus mengetahui banjir kilat berlaku, Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin turun padang dan meninjau lokasi yang dinaiki air pada Jumaat. 

Menurut laporan cuaca di Stesen Permy Jaya, hujan lebat melebihi 58 mm pada malam Khamis berbanding 10 mm pada Rabu telah mengakibatkan banjir kilat. 

Dalam pada itu, Datuk Lee telah mengarahkan Majlis Bandaraya Miri (MBM) segera membersihkan beberapa longkang yang didapati tersumbat akibat tumbuhan akuatik di parit besar dan sungai kecil. 

Ini bagi memastikan aliran air di dalam parit dapat mengalir dengan lancar ke sungai sekaligus mengurangkan air banjir.-EDISI UKAS