SEB Mulakan Pelepasan Air Secara Terkawal Di HEP Bakun Bermula 8 September

UKAS  > Edisi-Selatan >  SEB Mulakan Pelepasan Air Secara Terkawal Di HEP Bakun Bermula 8 September
0 Comments

SABTU, 4 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memulakan pelepasan air secara terkawal di Empangan Hidro Elektrik (HEP) Bakun bermula 8 September ini selama lima minggu sehingga paras air mencapai paras takungan normal.

SEB dalam kenyataan media pada Sabtu memaklumkan paras takungan Bakun dikawal dengan melepaskan air dalam jumlah yang diatur melalui limpahan berpagar.

Prosedur terkawal ini dijalankan secara bermusim setelah mendapat persetujuan dari Lembaga Sungai Sarawak, dengan masyarakat telah dimaklumkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum pelepasan dilaksanakan.

Menurut SEB lagi, jumlah air yang dilepaskan juga dikawal selia serendah yang boleh bagi mengimbangi paras air sungai di huluan dan hiliran bagi mengurangkan kesan di kawasan hiliran.

SEB juga menyeru khasnya orang awam,masyarakat perkapalan dan pengguna sungai di hilir empangan supaya mengambil langkah awal dari aspek keselamatan semasa belayar bagi mengelakan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Empangan Hidro Bakun yang dikendali dan dimiliki oleh SEB bersama Empangan Murum memainkan peranan utama dalam mengurangi kesan banjir di hilir Sungai Rejang dengan mengimbangi kedua-dua takungan hulu dan hilir terutama pada masa hujan lebat.

Pelepasan terkawal dari takungan adalah amalan biasa bagi pengendali tenaga air di seluruh dunia dan telah dilakukan oleh pengendali empangan Bakun sejak beroperasi pada tahun 2011. – EDISI UKAS