Fahami Definisi Imuniti Kelompok & Evolusi COVID-19: Dr Annuar Rapa’ee

UKAS  > Edisi-Selatan >  Fahami Definisi Imuniti Kelompok & Evolusi COVID-19: Dr Annuar Rapa’ee
0 Comments

SELASA, 7 SEPTEMBER 2021

KUCHING: Menteri Muda Kerajaan Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak merangkap Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu, Dr Annuar Rapa’ee menepis tuduhan segelintir pihak berkaitan kerajaan negeri yang didakwa gagal dalam usaha mencapai imuniti kelompok.

Beliau menegaskan bahawa tuduhan tersebut berasaskan kesimpulan yang tidak saintifik dan semua pihak perlu memahami definisi imuniti kelompok serta evolusi COVID-19 terlebih dahulu terutamanya perihal mutasi yang mengakibatkan kewujudan varian baharu.

“Konsep imuniti kelompok tidak boleh dinilai berdasarkan teori 70 peratus dan ke atas dengan tidak memahami evolusi virus yang terus bermutasi yang menimbulkan varian baharu.

“Kunci kepada imuniti kelompok adalah bermaksud mereka yang telah divaksinasi atau sudah dijangkiti tidak menyebarkan penyakit ini.

“Namun berdasarkan data dunia selepas program vaksinasi, ianya menunjukkan vaksin COVID-19 sangat berkesan untuk mencegah jangkitan simptomatik tetapi tidak menghentikan penyebaran,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menambah meskipun negeri ini menunjukkan peningkatan dalam jumlah kes positif, namun keberkesanan vaksinasi jelas membuktikan bahawa implikasi kesihatan yang teruk dan keperluan untuk dimasukkan ke hospital dapat dikurangkan.

Beliau menegaskan sekali lagi pada pihak yang masih membuat pertuduhan melulu untuk mengetahui lebih banyak fakta secara saintifik sebelum menyalahkan kerajaan gagal dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Selain itu, beliau memaklumkan Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia memberikan vaksinasi kepada remaja berumur 16 hingga 17 tahun mulai minggu hadapan. –EDISI UKAS