Pasukan Petugas Khas Pemantuan Projek Negeri Tinjau Projek Bermasalah Di Bintulu

RABU, 13 OKTOBER 2021

BINTULU: Pasukan Petugas Khas Pemantuan Projek Negeri yang diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak Dato Ir. Alice Jawan Empaling telah mengadakan tinjauan ke tapak Projek Cadangan Pembinaan 16 Unit Kuarters Tambahan Kakitangan Institut Kemahiran Mara (IKM) Bintulu pada Selasa. 

Dalam tinjauan itu, beliau telah diberikan taklimat ringkas daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan prestasi semasa projek.

Projek Cadangan Pembinaan 16 Unit Kuarters Tambahan Kakitangan IKM Bintulu berjumlah RM11,256,956 dan dilaksanakan Jati Igan Sdn. Bhd pada 4 Jun 2020 dan dijangka siap pada 8 Januari 2022.

Selepas itu, Pasukan Petugas Khas Pemantuan Projek Negeri turut mengadakan lawatan ke tapak Projek Merata Tapak Bina Baru Rumah Ngelambong Jarak di Batu 26, Bintulu. 

Projek tersebut melibatkan kos RM100,000 dan dibina oleh kontraktor Green Energys. 

Turut ditinjau Projek Naik Taraf Dewan Serbaguna Kampung Baru Bintulu yang berjumlah RM200,000 dan dilaksanakan kontraktor Adil Enterprise. 

Ketiga-tiga tinjauan ini adalah untuk memantau dan menjalankan intervensi terhadap projek yang dikenal pasti bermasalah.

Hadir sama Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat.-EDISI UKAS