Projek Naik Taraf Jalan Kampung Sagu Siap Sepenuhnya

RABU, 10 NOVEMBER 2021

SEBUYAU: Projek naik taraf Jalan Kampung Sagu menerusi penggunaan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) Khas telah siap sepenuhnya pada 21 Julai lepas.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek sepanjang 900 meter tersebut melibatkan kos berjumlah RM516,928 termasuk dengan kerja pelaksanaan bahu jalan dan garis jalan.

Jelasnya, kemudahan jalan berkenaan dapat memudahkan laluan menghubungkan penduduk setempat sekaligus meningkatkan sosio ekonomi mereka.

Datuk Julaihi menambah, penduduk di luar bandar mesti bersatu padu bagi menyokong pemimpin yang membawa agenda pembangunan di kawasan mereka.

“Saya tekankan bahawa kita di luar bandar mesti bersatu padu, mesti bersatu hati, mesti menyokong pemimpin yang ada agenda pembangunan luar bandar.

“Masyarakat juga perlu menggunakan platform yang betul seperti melalui wakil rakyat untuk menyuarakan permintaan mereka,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat dan perasmian projek naik taraf Jalan Kampung Sagu pada Rabu. –EDISI UKAS