PRN12 Sarawak: Kempen Pilihan Raya Norma Baru, Terus Sokong Calon GPS

ISNIN, 15 NOVEMBER 2021

SELANGAU: Pilihan Raya Negeri Ke 12 (PRN12) Sarawak akan diadakan tidak lama lagi dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas Proklamasi Darurat ditamatkan pada 3 November lepas. 

Menurut Senator Dato Dr Nuing Jeluing, dalam pilihan raya ini rakyat Sarawak akan memilih Kerajaan Sarawak baharu bagi tempoh 5 tahun lagi. 

Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menunjukkan kebolehan dan keyakinan memerintah negeri ini dengan acuan sendiri demi memastikan Sarawak terus makmur mencapai negeri maju tahun 2030. 

“Saya ingatkan kepada tuai-tuai rumah yang hadir, bahawa pilihan raya pada kali ini adalah mengikut norma baharu. 

“Tiada kempen dari rumah ke rumah seperti sebelumnya. 

“Pilihlah calon daripada GPS kerana ia telah mendapat sokongan daripada ketua parti kita,” katanya semasa berucap dalam Program Bakul Makanan Ahli Dewan Negara di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Fasa 2 dan 3 di Rumah Watson Lasu, Sungai Pelugau, Selangau pada Sabtu. 

Sebanyak 493 bakul makanan telah diagihkan di tiga lokasi membabitkan 29 rumah panjang. 

Mengulas mengenai bantuan bakul makanan  ini, ujarnya bantuan ini bertujuan membantu golongan yang terkesan akibat penularan COVID-19 yang berlaku ketika ini. 

Ini kerana sepanjang penularan wabak ini, ramai yang terkesan terutamanya golongan muda yang hilang pekerjaan di bandar akibat penutupan operasi syarikat dan mengambil keputusan pulang ke kampung.

“Bagi kita di bawah Parlimen Selangau iaitu di DUN Kakus dan Tamin, bantuan bakul makanan juga telah diagihkan oleh kedua dua ADUN di kawasan ini termasuk juga Senator Rita Insol,” katanya

Bantuan ini dilaksanakan lewat disebabkan sebelum ini tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tidak membenarkan rentas daerah. -EDISI UKAS