8,656 Kotak Air Minuman Dihantar Ke 42 Rumah Panjang Di Kawasan Tinjar Dan Bakong

AHAD, 15 OGOS 2021

BELURU: Cuaca panas tanpa hujan lebih sebulan telah menyebabkan kawasan di Daerah Beluru mengalami kekeringan.

Kebanyakan penduduk yang masih menggunakan sistem menakung air hujan kini kehabisan air dalam tangki air dan sistem paip graviti dari anak sungai di bukit juga kehabisan air.

Lantaran itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri telah menghantar bantuan kemarau merupakan air minuman dalam botol kepada kawasan yang terlibat sejak 1 Ogos 2021. 

Sehingga kini sebanyak 8,656 kotak air minuman dalam botol telah dihantar kepada 42 rumah panjang di Daerah Beluru merangkumi kawasan Tinjar dan Bakong.

Penghantaran bantuan kemarau ke rumah-rumah panjang terlibat dilakukan menggunakan perkhidmatan kenderaan pancuan empat roda.-EDISI UKAS