Jentera Parti Peringkat Akar Umbi Main Peranan Perjelas Inisiatif Baharu Kerajaan Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  Jentera Parti Peringkat Akar Umbi Main Peranan Perjelas Inisiatif Baharu Kerajaan Sarawak
0 Comments

SELASA, 30 NOVEMBER 2021

SEBUYAU: Jentera parti di peringkat akar umbi memainkan peranan utama untuk menyebarkan penerangan berkenaan inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera bersatu (PBB) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, sokongan dan kerjasama untuk terus mempertahankan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada semua pihak amat penting dalam memastikan kepentingan serta pembangunan kampung terurus sekaligus diberi perhatian sewajarnya.

Jelasnya, jalinan kerjasama antara semua peringkat kepimpinan di peringkat kawasan Sebuyau khasnya dan Sarawak amnya amat penting bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang sedia ada.

Dalam pada itu, beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau telah mengadakan Program Pemimpin Bersama Rakyat dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting PBB di Kampung Tungkah Melayu pada Isnin.

Datuk Julaihi memaklumkan perjumpaan tersebut adalah bertujuan memberikan penjelasan dan pencerahan terkini mengenai dasar dan agenda pembangunan khususnya dari segi pelaksanaan dan pencapaian terkini GPS di kawasan Sebuyau.

Selain itu, beliau menambah, semua AJK perlu membuat persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kelak.

Beliau berharap semua jentera parti di peringkat ranting, wanita dan pemuda memainkan peranan dan bersiap siaga dari semasa ke semasa. –EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *