RABU, 19 JANUARI 2022

MUKAH: Pelancaran Politeknik Mukah ke arah Educational Organisations Management System (EOMS) ISO 2101:2018 berfokus kepada standard organisasi pendidikan yang menyokong perkembangan ilmu pengajaran, pembelajaran atau pendidikan dalam institusi.

Majlis perasmian pelancaran EOMS dan perhimpunan bulanan Polycc Zon Sarawak merupakan anjuran Jabatan Pengajian Am (JPA) Politeknik Mukah yang telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Teknologis Profesional (TS) Mohamad Amin bertempat di Dewan Kuliah, Politeknik Mukah pada Jumaat.

Menurut Mohamad Amin, ISO 2101:2018 EOMS bertujuan meningkatkan kepuasan pelajar, penerima manfaat lain dan kakitangan melalui sistem tersebut.

“Diharap dengan pelaksanaan EOMS ini akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kakitangan dan kecemerlangan pelajar dan saya mengucapkan syabas atas pencapaian cemerlang tahun 2021 merupakan suatu manifestasi komitmen dan iltizam seluruh warga kerja POLYCC Zon Sarawak,” katanya.

Beliau menambah dengan berkat dan usaha serta komitmen yang tinggi daripada semua pihak, POLYCC Zon Saarwak telah berjaya melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab dengan jayanya dan menjadikan institusi TVET yang terunggul di Sarawak.

“Kedatangan tahun 2022 sudah tentunya akan memberi cabaran baharu kepada seluruh warga POLYCC Zon Sarawak dan segala cabaran yang telah kita harungi bersama, dan adakalanya kita perlu mengubah suai program bagi memastikan perkhidmatan agensi kepada pelajar dan masyarakat tidak terjejas, lebih-lebih lagi dengan keperluan bekerja berlandaskan norma baharu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya lagi.

Beliau berharap dengan kenaikan gred yang lebih tinggi pada tahun lepas kesemua pihak yang terlibat menyumbangkan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi dalam bidang kepakaran.

Majlis tersebut bersiaran secara langsung dalam talian melalui laman web rasmi facebook dan youtube Politeknik Mukah yang dihadiri oleh semua pegawai dan kakitangan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak bagi mendengar amanat yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Governan).

Turut hadir, Pengarah Politeknik Kuching merangkap Pengerusi PolyCC Zon Sarawak, Hikmatullah Hajid Ahmad Khan; Pengarah Politeknik Mukah, Dr Zamzam Mohd Walid; Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Mukah, Iskandar Reduan; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Mukah, Awang Annuar Awang Mansor; Pengarah-pengarah, Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sarawak, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Unit. – EDISI UKAS

add comment