Sabah FC Uji Kuching City FC Sabtu Ini Di Likas

UKAS  > Edisi-Selatan >  Sabah FC Uji Kuching City FC Sabtu Ini Di Likas
0 Comments

SELASA, 25 JANUARI 2022

KUCHING: Pasukan Kuching City FC (KCFC) akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Sabah FC pada Sabtu ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KCFC, Iswandi Ali Hassan sambil berkata perlawanan tersebut akan bermula pada jam 8.15 malam.

“Ini akan menjadi perlawanan persahabatan kita bagi menguji kemampuan dan keserasian pemain khususnya yang baru,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Iswandi lagi, KCFC juga akan mengadakan tiga lagi aksi persahabatan dari 13 hingga 20 Februari depan dalam jelajah pra musim pasukan itu.

Katanya, tiga pasukan Liga Super dipilih menjadi ‘sparring’ KCFC dalam jelajah tersebut iaitu pasukan PJ City FC, Negeri Sembilan dan Selangor FC.

Mengulas lanjut, Iswandi berkata pihaknya masih menanti kedatangan dua penyerang import baru untuk melengkapkan persiapan pasukan itu.

Katanya, salah seorang penyerang terbabit yang berasal dari England dan bermain di Liga Bahrain sedang menunggu pelepasan pihak Imigresen.

Manakala seorang lagi pemain masih menunggu visa dari negara asalnya Afrika.

“Kedua-dua penyerang ini akan kita ambil dan mereka akan tiba dalam masa terdekat,” tambah Iswandi namun enggan mendedahkan nama kedua pemain itu.

Setakat ini, KCFC telah mengikat pemain pertahanan dari Jepun, Yuki Tanagawa selain mengekalkan khidmat bek dari Brazil, Aylton Alemao.

Pasukan itu juga diperkuatkan dengan kehadiran lima pemain tempatan.

Saingan Liga Premier 2022 akan bermula pada Mac depan. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *