Bidang Pertanian Fokus Utama Penduduk DUN Opar Jana Pendapatan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Bidang Pertanian Fokus Utama Penduduk DUN Opar Jana Pendapatan
0 Comments

JUMAAT, 11 MAC 2022

BAU: Bidang pertanian akan menjadi fokus utama bagi menjana pendapatan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, bantuan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian amat diperlukan bagi tujuan itu di samping merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan menerusi Dana Fasilitasi Pertanian (AFF).

Ujar beliau, tumpuan kepada tanaman sawit sahaja tidak mencukupi kerana selain memerlukan keluasan tanah yang besar, keupayaan tenaga mereka juga turut difikirkan dalam mengusahakan tanaman tersebut untuk jangka masa panjang.

“Apa yang mampu dilakukan bagi memperolehi pendapatan dalam masa singkat adalah dengan melakukan penanaman lain seperti jagung, padi atau melakukan penanaman sayur di bawah struktur berjaring,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan pemeriksaan infrastruktur dan jalan pertanian serta sistem saliran sawah Padi Paya Nowang di Kampung Jugan di sini pada Khamis.

Dalam masa sama, Billy turut menggesa agar tanah-tanah sedia ada dapat diusahakan dengan tanaman kelapa pandan memandangkan ia mendapat permintaan tinggi di pasaran selain tanaman lada hitam yang merupakan produk utama Sarawak.

Lawatan beliau turut disertai Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Kuching, Victor Douglas Abang; Penolong Pegawai Pertanian Daerah Bau, Nicholas Ajis dan Ketua Kaum Kampung Jugan, Ponisa Nyuyam. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *