Sarawak Skills Dan Kolej Universiti iCATS Main Peranan Penting Lahir Tenaga Kerja Mahir

UKAS  > Edisi-Selatan, Edisi-Utama >  Sarawak Skills Dan Kolej Universiti iCATS Main Peranan Penting Lahir Tenaga Kerja Mahir
0 Comments

SABTU, 12 MAC 2022

KUCHING: Sarawak Skills dan Kolej Universiti iCATS sentiasa peka dengan keperluan tenaga yang dikehendaki oleh pihak industri di negeri ini.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata,  Sarawak memerlukan tenaga mahir dalam industri penggunaan gas hidrogen dan teknologi digital yang menjadi pemangkin ekonomi masa kini.

Katanya, keperluan terhadap tenaga mahir itu amat diperlukan sekarang memandangkan Sarawak sudah mula membangunkan projek penggunaan tenaga sel gas hidrogen terutama untuk kegunaan bas dan kereta.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS Kali Ke-24 bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

“Institusi seperti Sarawak Skills dan Kolej Universiti iCATS memainkan peranan sebagai penjana sumber tenaga mahir atau specialist dalam pelbagai teknologi baharu termasuk pembangunan penggunaan gas Hidrogen dan teknologi digital yang menjadi pemangkin ekonomi masa kini. Saya berbangga iCATS telah diiktiraf menjadi sebuah ‘University College’ dan diharapkan lebih banyak program ijazah, sarjana dan sarjana falsafah di negeri ini akan dilaksana dan ditawarkan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, kerajaan telah menetapkan dasar ke arah memperkasakan ekonomi hijau, iaitu strategi pembangunan berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui untuk menjana pendapatan dan membangunkan negeri ini.

“Kerajaan telah menetapkan dasar ke arah memperkasakan ekonomi hijau, iaitu strategi pembangunan berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui. Sarawak amat bertuah kerana dirahmati dengan banyak sumber tenaga boleh diperbaharui, misalnya, sumber air yang menjana Tenaga Hidro untuk memacu pembangunan industri di negeri ini, malah kita adalah penjana Tenaga Hidro yang terbesar di Malaysia,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut seramai 697 graduan dari pelbagai program akademik dan kemahiran menerima skrol mereka yang terdiri daripada 300 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 103 Penerima Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan 11 penerima Diploma Kemahiran Lanjutan Malaysia (DLKM). 

Manakala bagi program akademik (i-CATS UC dan i-CATS Miri), terdapat 58 graduan dari program ijazah (Kejuruteraan Perisian dan Pentadbiran Perniagaan), 214 graduan dari pelbagai program diploma, dan 11 graduan dari Sijil dalam Program Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.- EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *