ADUN Lingga Santuni Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak

UKAS  > Edisi-Selatan >  ADUN Lingga Santuni Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak
0 Comments

AHAD, 13 MAC 2022

LINGGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, telah menyantuni Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak Lingga di Dataran Terubok, Pekan Lingga pada Sabtu.

Program yang diadakan pada 12 hingga 13 Mac itu merupakan satu inisiatif anjuran Perbendaharaan Malaysia Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Pejabat Daerah Sri Aman, serta Pejabat Daerah Kecil Lingga untuk menawarkan perkhidmatan agensi-agensi Kerajaan secara langsung kepada masyarakat setempat.

“Sebanyak 20 agensi kerajaan Persekutuan serta kerajaan Negeri telah dikumpulkan pada kali ini untuk memberikan perkhidmatan secara bersemuka kepada rakyat Lingga,’’ kata Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee ketika ditemui wartawan di tapak program tersebut.

Beliau menjelaskan, program yang julung kali diadakan pada tahun 2022 itu mampu mendedahkan penduduk luar bandar kepada dasar, program, serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan.

“Ianya turut mendekatkan lagi rakyat dengan Kerajaan terutamanya mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan tidak pernah lupa akan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat setempat,’’ tambahnya lagi.

Tegas Ashree, program sebegini wajar diteruskan untuk membolehkan masyarakat dari kawasan luar bandar serta pedalaman mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat daripada agensi-agensi Kerajaan tanpa perlu bergerak jauh ke kawasan bandar. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *