MPS Fokus Usaha Mentransformasi Sibu Kepada Bandar Pintar

UKAS  > Edisi-Tengah >  MPS Fokus Usaha Mentransformasi Sibu Kepada Bandar Pintar
0 Comments

AHAD, 13 MAC 2022

SIBU: Digital dan teknologi menjadi norma baharu dalam kehidupan seharian semua warga di seluruh dunia dalam pasca pandemik Covid-19.

Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM14 juta kepada MPS untuk menyediakan pelbagai perkara bagi membantu memudahkan kehidupan penduduk Sibu.

“MPS akan mengenal pasti beberapa kawasan di Sibu yang sesuai untuk pemasangan Skrin Diod Pemancar Cahaya (LED) dalam usaha mentransformasi Sibu kepada Bandar Pintar.

“Selain itu, ianya bertujuan membantu memaparkan iklan dan mempromosi produk selain ianya juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan lain, seperti penunjuk arah ke kedai anda atau suatu kawasan,” katanya semasa berucap dalam perasmian Forum Borneo Digital Teknologi 2022 anjuran E-Platform Media Digital Sarawak di RH Hotel Sibu pada Sabtu.

Tambah beliau lagi, dalam usaha menuju ke arah platform digital, MPS memerlukan semua pemilik rumah mendaftarkan diri dalam talian dengan MPS menjelang 2023 untuk membayar kadar taksiran supaya pada masa hadapan, pihak MPS tidak perlu lagi menghantar slip kadar taksiran ke rumah secara fizikal.

Dalam pada itu, forum tersebut telah dihadiri oleh seramai 130 peserta untuk mempelajari pengetahuan mengenai aplikasi digitech dalam pelbagai industri seperti media dan pertanian.

Pelbagai pengisian dan perkongsian yang menarik berkaitan industri digital dan teknologi disediakan semasa forum tersebut seperti sesi bersama TVS (Siaran dan Digital), Kerja Sebagai Pencipta Kandungan oleh Fadhil Isa, Masa Depan Teknologi oleh Jimsley Lim dan IOT Digital Agroculture oleh Mohammad Fadzli Jawawi.

Turut hadir Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Penyelidikan, Acara Perniagaan Sarawak, Anedia Kahar dan Naib Presiden Persatuan E-Platform Media Digital Sarawak, Mohd Nadzrul Idzlan Mohd Nor.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *