Projek Pembesaran Kampung Endap Bakal Manfaatkan 200 Keluarga

UKAS  > Edisi-Selatan >  Projek Pembesaran Kampung Endap Bakal Manfaatkan 200 Keluarga
0 Comments

AHAD, 13 MAC 2022

KOTA SAMARAHAN: Projek Pembesaran Kampung Endap bakal memberi manfaat kepada 200 keluarga dari Kampung Endap, Kampung Sinaran Jaya dan Kampung Tanah Putih.

Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, projek tersebut masih dalam proses pelaksanaan dan ianya dijangka siap pada tahun 2023.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana meluluskan Projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) di Kota Samarahan yang antara lain termasuk Kampung Endap, Kampung Tambay, dan Kampung Sambir,’’ katanya ketika ditemui di tapak projek berkenaan pada Sabtu.

Jelas beliau, projek SPS dan SPK adalah berbeza daripada pemberian tanah lot dahulu kerana projek-projek tersebut turut menyediakan kemudahan lain seperti usaha menambak tapak rumah serta penyediaan jalan yang lebih teratur.

“Oleh itu, saya berharap agar mereka yang terpilih tidak mensia-siakan pemberian skim ini kerana ianya masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat yang memerlukan.

“Gunakanlah manfaat ini untuk membina rumah kediaman masing-masing,’’ tambahnya lagi.

Selepas itu, Datuk Rubiah turut melawat projek menaiktaraf masjid dan gelanggang futsal di Kampung Endap yang telah siap baru-baru ini.

Turut hadir ialah Penghulu Kampung Endap, Awang Mohamad Awang Jamel dan Ketua Kaum Kampung Sinaran Jaya, Jamusin Nasir. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *