CENTEXS Terima Kunjungan Rasmi Daripada Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak

UKAS  > Edisi-Selatan >  CENTEXS Terima Kunjungan Rasmi Daripada Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak
0 Comments

ISNIN, 14 MAC 2022

KUCHING : Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn telah mengadakan kunjungan rasmi ke Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS) bersama 11 delegasi daripada kementeriannya pada Isnin.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk memahami program latihan dan melihat sendiri infrastruktur latihan yang disediakan di CENTEXS Kuching, Santubong.

Program tersebut dimulakan dengan ucapan aluan mengenai pelbagai program dan kemudahan yang disediakan di CENTEXS daripada Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Sayeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman.

Menurutnya, CENTEXS kini telah berkembang di seluruh bahagian di Sarawak dan berpusat di Kuching dengan pecahan cawangan di Lundu, Dalat, Lawas, Betong dan Mukah.

Datuk Roland Sagah kemudiannya, turut membuat lawatan di Khidmat Komersial CENTEX, Akademi Digital, Pusat Kecemerlangan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak dan Galeri Warisan.

Jelas Datuk Roland Sagah, beliau gembira di atas kerjasama CENTEXS dengan agensi-agensi antarabangsa yang mahir dalam bidang teknologi digital dan pendidikan teknikal.

“Seperti yang kita sedia maklum, Premier Sarawak seorang yang futuristik dan beliau hendak melihat banyak penemuan baharu bukan hanya di dalam negeri tetapi juga di peringkat global.

“Sebab itu di CENTEXS, mereka berkolaborasi bersama kumpulan dari luar negara yang mahir serta berpengalaman dalam bidang teknolgi dan pendidikan teknikal, dalam lawatan sebentar tadi kita dapat lihat banyak teknologi yang digunakan untuk memastikan kerja dilaksanakan dengan teliti dan terperinci.” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan di sekitar fasiliti dan akademi di CENTETXS Kuching, Santubong.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi, Dr Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis serta Setiausaha Tetap Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datu Kameri Affandi.-EDISIUKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *