Industri Sarang Burung Walit Sumber Kekayaan Baharu Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Utara >  Industri Sarang Burung Walit Sumber Kekayaan Baharu Di Sarawak
0 Comments

ISNIN, 14 MAC 2022

BINTULU: Industri sarang Burung Walit merupakan satu kegiatan ekonomi yang boleh menjana pendapatan sekaligus boleh menambah pendapatan penduduk. 

Pengerusi Persatuan Dayak Tatau (PERDATA) Eju Giri berkata, industri sarang burung ini semakin mendapat tempat di kalangan penduduk setempat khususnya kawasan luar bandar yang semenangnya mempunyai kawasan yang sesuai. 

“Sarang Burung Walit ini merupakan sumber kekayaan baharu di negara ini khususnya penduduk di luar bandar. 

“Ianya bukan sahaja menjana pendapatan kepada penduduk setempat malah boleh memberi pendapatan tambahan kepada penduduk yang mengusahakannya secara sambilan,” katanya semasa berucap merasmikan Kursus Pengenalan Industri Burung Walit Bahagian Bintulu baru-baru ini. 

Seramai 60 ahli-ahli PERDATA telah mengambil bahagian dalam kursus ini. 

Dalam pada itu, beliau juga berharap Kerajaan Sarawak dapat menyediakan bantuan kepada pengusaha yang berkecimpung dalam industri sarang burung ini contohnya peruntukan Agriculture Facilitation Fund (AFF). 

Dalam kursus itu, peserta telah diberikan taklimat berkenaan Sarang Burung Walit oleh Penolong Pegawai Veterinar Kanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Henry Banyan antaranya Pengenalan Industri Burung Sarawak, pemilihan tapak pembinaan dan pengurusan Burung Walit, penuaian, pembersihan, jualan dan pemasaran sarang Burung Walit dan pendaftaran dan persijilan Rumah Burung Walit (GAHP & RFID). -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *