Institut Latihan Di Sarawak Tawar Pelbagai Pengajian TVET

UKAS  > Edisi-Utara >  Institut Latihan Di Sarawak Tawar Pelbagai Pengajian TVET
0 Comments

ISNIN, 14 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Institusi latihan di Sarawak masih mencukupi untuk menampung keperluan semasa dengan menawarkan pelbagai pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, terdapat tiga buah politeknik dan tujuh buah kolej komuniti yang sedang beroperasi di Sarawak setakat November 2021.

“Kesemua institut berkenaan sudah menawarkan pelbagai program pengajian dalam bidang TVET,’’ katanya dalam jawapan bertulis sebagai menjawab Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Antaranya termasuk jurusan keusahawanan, kejuruteraan, teknologi, perdagangan, perkhidmatan, serta pendidikan,’’ jelas beliau lagi.

Terdahulu, Lukanisman bertanya mengenai rancangan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) untuk membuka kolej komuniti di kawasan luar bandar Parlimen Sibuti.

Ujar Datuk Seri Dr. Noraini, penubuhan kolej komuniti diutamakan di kawasan yang tidak mempunyai institusi latihan yang lain di sekitarnya.

Katanya, keperluan penubuhan turut tertakluk kepada aspek-aspek seperti peruntukan kewangan, dasar perjawatan yang sedang berkuat kuasa, kehendak industri, serta unjuran guna tenaga negara.

“Namun, pihak KPT akan sentiasa mengkaji perkara ini dari semasa ke semasa sekiranya timbul keperluan baharu pada masa depan,’’ tegasnya. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *