Penggiat Seni Diseru Sepakat Angkat Martabat Industri Muzik Di Sarawak

UKAS  > Edisi-Tengah >  Penggiat Seni Diseru Sepakat Angkat Martabat Industri Muzik Di Sarawak
0 Comments

ISNIN, 14 MAC 2022

SIBU: Para penggiat seni seperti penyanyi, penulis lirik, komposer lagu serta yang berada di belakang tabir untuk berganding bahu menghasilkan lagu-lagu atau karya terbaik bagi mengangkat martabat industri muzik di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang berkata para penggiat seni di negeri ini sedia maklum bahawa penghasilan sesebuah lagu yang hebat membolehkan mereka bersaing dengan lagu-lagu lain di Malaysia sekaligus mengangkat nama mereka di persada seni tanah air.

Beliau berkata demikian semaa Taklimat Prosedur Operasi Standard (SOP) Penapisan dan Penilaian Lagu-lagu Tempatan dan Etnik (PPLTE) anjuran RTM Sibu baru-baru ini.

Dalam hal ini, Ir. Christopher mengucapkan tahniah dan syabas kepada RTM kerana turut bekerjasama dalam memartabatkan industri muzik di Sarawak.

Katanya, sebagai wakil rakyat, beliau menyokong sepenuhnya industri muzik Dayak.

“Dalam 20 tahun kebelakangan ini, industri muzik di Sarawak terutamanya lagu Iban dilihat mengalami perkembangan yang memberangsangkan.

“Tidak kurang hebatnya kepada lagu-lagu etnik lain seperti lagu Melayu Sarawak, lagu Bidayuh dan juga lagu Melanau.

“Jika pada masa dahulu, kita lihat dan dengar lagu-lagu Iban lebih kepada rentak joget dan keroncong sahaja tetapi pada masa kini, terdapat pelbagai genre lagu yang telah dihasilkan oleh penggiat seni,” katanya.

Beliau menambah, masyarakat hari ini juga dapat menerima pelbagai jenis genre lagu seperti lagu balada, rock ataupun lagu slow rock dan ini merupakan satu perkembangan yang positif dalam kalangan masyarakat. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *