Majikan Digesa Pantau Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja

UKAS  > Edisi-Tengah >  Majikan Digesa Pantau Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja
0 Comments

SELASA, 15 MAC 2022

KUCHING: Berikutan pengumuman bahawa Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19 mulai 1 April depan, majikan serta pihak berkepentingan lain perlu terus memantau isu berkaitan keselamatan dan kesihatan para pekerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, perkara ini adalah untuk mengelakkan wabak tersebut daripada menular khususnya di tempat kerja.

“Dalam hal ini, Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2020 yang diluluskan di Parlimen pada tahun lepas akan memastikan hukuman yang lebih berat dikenakan ke atas majikan yang melanggar sebarang langkah keselamatan,’’ jelasnya pada Majlis Pra-Pelancaran bagi Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-23 (COSH 2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa pengenaan hukuman yang lebih berat harus dilihat sebagai satu langkah pencegahan dan bukannya sekadar menghukum majikan dengan sewenang-wenangnya.

Sementara itu, Datuk Wilson berpendapat bahawa tema ‘Berdaya Tahan Menghadapi Cabaran Baharu’ yang dipilih untuk COSH 2022 yang bakal berlangsung pada 29 hingga 30 Ogos depan adalah sesuai memandangkan Malaysia baru muncul semula ke landasan pemulihan ekonomi.

“Ianya turut menggambarkan bahawa isu berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) merupakan satu perkara yang terlalu dinamik.

“Justeru, pihak industri dan juga seluruh negara harus bersiap sedia untuk menghadapi serta menangani masalah yang berpotensi timbul pada bila-bila masa,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Hulu Rajang itu mempelawa pemain industri serta orang ramai untuk tampil menyertai persidangan tersebut bukan sahaja untuk menggalas isu-isu OSH terkini, malahan juga untuk menjalinkan hubungan erat antara satu sama lain.

“Hubungan tersebut dapat diteruskan dalam bidang OSH apabila berdepan dengan cabaran dan masalah di tempat kerja masing-masing pada masa depan,’’ katanya lagi. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *