MBM Luluskan 230 Gerai Di 4 Lokasi Bazaar Ramadan Di Miri Tahun Ini

UKAS  > Edisi-Utara >  MBM Luluskan 230 Gerai Di 4 Lokasi Bazaar Ramadan Di Miri Tahun Ini
0 Comments

RABU, 16 MAC 2022

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah memutuskan untuk mengadakan Bazar Ramadan di Miri pada tahun ini.

MBM menerusi kenyataan media pada Selasa memberitahu, keputusan ini dibuat selepas melakukan pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan orang ramai.

“Bazar Ramadan Miri 2022 akan diadakan mulai 3 April 2022 sehingga 2 Mei 2022 dengan syarat pengusaha gerai dan orang ramai yang mengunjungi gerai di Bazar Ramadan masih diwajibkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

Jelas MBM lagi, terdapat 4 lokasi yang terdiri daripada 230 gerai pelbagai kategori dikenal pasti seperti Padang MBM di Jalan Padang, MBM (150 lot), Bazar Lutong di tempat letak kereta (20 lot), Tamu Desa Pujut 2 (20 lot) dan Taman Tunku di Pusat Rumah Kedai Taman Jelita (40 lot).

Dalam pada itu, MBM juga telah menetapkan tarikh akhir untuk permohonan gerai bagi bazar-bazar Ramadan.

“Borang permohonan boleh didapati di Pejabat Bahagian Kesihatan Awam di UTC Miri, Jalan Raja bermula dari 15 hingga 25 Mac 2022, dan borang permohonan yang telah diisi dengan sewajarnya beserta resit selepas pembayaran yuran permit dan deposit pembersihan hendaklah diserah dan didaftarkan dengan Bahagian Kesihatan Awam Majlis sebelum 25 Mac 2022.

“Manakala, taklimat kepada pemohon yang berjaya dan membuang undi untuk kategori berbeza akan dijalankan pada 28 dan 29 Mac 2022,” ujarnya.

MBM juga mengingatkan pemegang permit hendaklah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan Kesihatan Awam dan mendapatkan Sijil Kesihatan serta semua pemohon dikehendaki mengambil maklum notis yang dikeluarkan Kesihatan Awam Majlis berkenaan butiran permohonan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *