Pejabat PPN Tinjau Kawasan Tanah Runtuh Di Rumah Panjang Di Betong

UKAS  > Edisi-Tengah >  Pejabat PPN Tinjau Kawasan Tanah Runtuh Di Rumah Panjang Di Betong
0 Comments

RABU, 16 MAC 2022

BETONG: Hujan lebat pada awal pagi Selasa telah menyebabkan kejadian tanah runtuh di bahagian hadapan rumah panjang Begumbang, Layar, Betong.

Sejurus menerima maklumat, pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak telah bergegas ke lokasi untuk memantau situasi dan turut disertai pihak Pusat Khidmat Betong.

Keadaan di lokasi adalah terkawal dan ianya tidak menjejaskan struktur rumah panjang.

Namun, ianya telah menjejaskan tapak projek yang sedang dilaksanakan di situ iaitu Projek Mesra Rakyat (PMR) dengan peruntukkan daripada Datuk Robert Lawson Chuat selaku Ahli Parlimen Betong.

Projek membina benteng serta melebarkan jalan di hadapan rumah panjang Begumbang, Layar, Betong dengan kos sebanyak RM100,000 telah dimulakan pada 15 Februari 2022.

Projek dijangka siap dalam tempoh 12 minggu dengan pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak selaku agensi pelaksana.

Sementara itu, Penolong Jurutera dari Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Sri Aman), Shamhimi Jotem menyatakan, tindakan pihaknya buat masa ini adalah mengenakan perlindungan hamparan kanvas di kawasan terjejas runtuhan.

Projek ini akan dihentikan buat sementara waktu dan spesikasi projek yang baru akan dipertimbangkan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *