Pemilihan Pemain SUKMA Sarawak Pada 24 Hingga 27 Mac Depan

UKAS  > Edisi-Utara >  Pemilihan Pemain SUKMA Sarawak Pada 24 Hingga 27 Mac Depan
0 Comments

RABU, 16 MAC 2022

MIRI: Persatuan Badminton Sarawak (SBA) dan Perbadanan Sukan Negeri (SSC) akan menganjurkan pertandingan pemilihan pemain untuk mewakili Sarawak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) pada 24 Mac hingga 27 Mac depan.

Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak, Ting Ching Zung berkata, Sarawak akan memilih 8 orang pemain lelaki dan 8 orang pemain wanita untuk mewakili Sarawak dalam SUKMA yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur tahun ini.

“Pada masa ini, kita mempunyai senarai nama 12 lelaki dan 12 wanita dari seluruh Sarawak dan dalam senarai tersebut kita akan memilih 8 lelaki dan 8 wanita melalui pertandingan pemilihan pemain SUKMA untuk proses pemilihan wakil Sarawak.

“SUKMA tahun ini akan diadakan di Kuala Lumpur mulai 15 hingga 21 Julai 2022 dan Sarawak akan menghantar pemain badminton yang cemerlang untuk bertanding dalam kejohanan itu,” katanya di Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Press Metal Closed Badminton Championship 2022 peringkat Miri di Tung Sport Miri pada Ahad.

Ting turut memberitahu, SBA juga akan menyediakan latihan lebih dua bulan untuk pemain yang akan mewakili Sarawak melalui pelatih pasukan bimbingan bekas pemain kebangsaan James Chua yang berasal dari Sarawak.

Beliau menambah, buat julung kalinya, Sarawak mempunyai 6 orang pemain bakat yang telah dipilih memasuki ke pasukan kebangsaan untuk mengadakan sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia pada awal bulan Mac ini.

“SBA juga menaja sepenuhnya 6 orang pemain bakat cemerlang yang telah dipilih oleh pasukan kebangsaan.

“Mereka terdiri daripada Genevie Lim Tsin Yeen (bawah 14), Alwyn Chua Kai Xu (Bawah 13), Isyraf Hafizin Ibrahim (Bawah 14), Lee Zi Suen (Bawah 16), Pui Wee Young (Bawah 19) dan Jeremy Juan (Bawah 18),”ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa syarikat jenama Protect juga akan menaja jersi, seluar, kasut, stoking, raket, beg dan sebagainya kepada pemain sarawak yang cemerlang dari SBA setiap tahun.

Ujar Ting lagi, persatuannya juga akan memberi ganjaran kepada pemain dalam kedudukan kelapan dalam acara perseorangan dan dalam kedudukan keempat dalam acara beregu setiap bulan.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *