Guna Jengkaut Alihkan Longgokan Kayu Di Pantai Pantai Batu Satu Kuala Baram

UKAS  > Edisi-Utara >  Guna Jengkaut Alihkan Longgokan Kayu Di Pantai Pantai Batu Satu Kuala Baram
0 Comments

KHAMIS, 17 MAC 2022

MIRI: Kejadian longgokan serpihan kayu yang dihanyutkan air pasang di Pantai Batu Satu Kuala Baram bukan perkara baru dan keadaan ini menyusahkan bot-bot nelayan untuk keluar masuk turun ke laut untuk mencari rezeki.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, ini merupakan  insiden berulang kali dan memerlukan penyelesaian segera sama ada dari segi jangka masa pendek mahupun panjang.

“Apabila serpihan kayu dan sisa-sisa laut yang dibawa ombak ke permukaan pantai, jengkaut boleh digunakan untuk mengalihkan longgokan kayu itu ke laluan keluar masuk bot nelayan di Pantai Batu Satu Kuala Baram dan sekaligus melengkapkan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa laut tersebut.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas meninjau timbunan serpihan kayu di Kampung Batu Satu Kuala Baram, Miri pada Khamis. 

Tambah Dato Sri Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, beliau dan rombongan pakar termasuk jurutera dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia telah memutuskan untuk menyediakan jentera-jentera pembersihan seperti jengkaut untuk bersedia dan beroperasi secara 24 jam di lokasi terbabit.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Batu 1, Kuala Baram Miri yang mula dilaksanakan pada April 2021 di lokasi berhampiran kini telah 42 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2023. 

Projek tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan jumlah peruntukan RM17,388,000.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Zon Pantai, JPS Malaysia Mohd Khairul Sabri Abdullah dan Jurutera JPS Miri Ir Law Wee.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *