Kursus Kejurulatihan Bola Baling Medan Lahir Jurulatih, Atlet Baharu

UKAS  > Edisi-Tengah >  Kursus Kejurulatihan Bola Baling Medan Lahir Jurulatih, Atlet Baharu
0 Comments

KHAMIS, 17 MAC 2022

BINTANGOR: Peserta Kursus Kejurulatihan Bola Baling Tahap 1 anjuran Jabatan Pendidikan Jasmani Dan Kesihatan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang digesa agar menggunakan peluang itu untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam sukan bola baling.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing juga berharap peserta kursus itu dapat berkongsi kemahiran mereka kepada pelajar untuk melahirkan bakat baru dalam sukan tersebut.

“Difahamkan kursus ini bermatlamat menyediakan platform kepada siswazah untuk menjadi jurulatih bola baling yang bertauliah di peringkat sekolah, daerah sehingga ke kebangsaan atau antarabangsa apabila mereka ditempatkan di sekolah suatu hari nanti.

“Selain itu, ia juga dapat melahirkan jurulatih bola baling moden generasi masa hadapan di samping memberikan pengetahuan baharu kepada jurulatih dalam atlet bola baling Malaysia,” katanya berucap semasa merasmikan Kursus Kejurulatihan Bola Baling Tahap 1 di IPG Kampus Rajang Bintangor pada Rabu.

Datuk Ding turut merakamkan terima kasih kepada Persatuan Bola Baling Sarawak (SAHA) kerana sudi menghantar jurulatih yang bertauliah untuk menjayakan kursus tersebut.

Sebagai tanda sokongan, beliau telah menyumbang dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 untuk kursus tersebut dan RM3,000 kepada SAHA untuk melaksanakan aktiviti persatuan.

Hadir sama Pengarah IPG Kampus Rajang Bintangor, Dr Abg Ismail Abg Julhi. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *