Pengurusan Teratur Pacu Perkembangan Ekopelancongan Di Lundu Dan Sematan

UKAS  > Edisi-Selatan >  Pengurusan Teratur Pacu Perkembangan Ekopelancongan Di Lundu Dan Sematan
0 Comments

JUMAAT, 18 MAC 2022

SEMATAN: Pengurusan dalam bidang ekopelancongan adalah penting bagi memastikan ia dilaksanakan dengan teratur dan boleh menarik lebih ramai pengunjung untuk menikmati keindahan flora dan fauna di Lundu dan Sematan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan memberitahu, keindahan flora dan fauna yang dimiliki oleh Lundu dan Sematan seperti Gunung Pueh, air terjun di Sebako, Sebat dan Jangkar termasuk bunga Raflessia membuatkan ramai pelancong dari dalam mahupun luar Sarawak sanggup datang untuk menikmati khazanah alam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Keusahawanan Ekopelancongan dan Program Kesedaran Konservasi Bersama Komuniti di Sekitar Gunung Pueh Forest Reserve di Sematan, pada Khamis.

Jelas Azizul, program tersebut adalah hasil usaha kerajaan Sarawak dalam membantu komuniti tempatan yang terjejas akibat wabak COVID-19 dengan memanfaatkan keindahan alam semulajadi sebagai sumber pendapatan baharu menerusi aktiviti ekopelancongan.

Justeru katanya, penduduk tempatan digesa untuk mengambil peluang dalam bidang ekopelancongan bagi menjana pendapatan dan turut menjaga keindahan alam semulajadi menerusi program konservasi.

Difahamkan, seramai 46 peserta dari 17 buah kampung di daerah Lundu dan Sematan telah terlibat dalam program anjuran bersama Jabatan Hutan Sarawak, Pejabat Daerah Lundu, Pejabat Daerah Kecil Sematan dan Kolej Komuniti Kuching. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *