Projek Selenggara Dan Baik Pulih Jalan Lima Kampung Di Kawasan Tebedu Dijangka Siap 16 Mei Ini

UKAS  > Edisi-Selatan >  Projek Selenggara Dan Baik Pulih Jalan Lima Kampung Di Kawasan Tebedu Dijangka Siap 16 Mei Ini
0 Comments

JUMAAT, 18 MAC 2022

TEBEDU: Projek menyelenggara dan baik pulih jalan bagi lima buah kampung di kawasan Tebedu yang dikendalikan oleh Majlis Daerah Serian (MDS), dijangka siap pada 16 Mei ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada telah menyempurnakan penyerahan tapak projek menyelenggara dan baik pulih jalan itu di Balai Raya Kampung Mawang Tahup dan Kampung Entubuh, pada Jumaat.

Projek bernilai RM400,000 menerusi dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) tersebut telah mula dilaksanakan bulan lepas dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

Dalam pada itu, Dr. Simon memberitahu, beliau menghargai kerjasama dan sokongan semua pihak dalam membolehkan kerajaan Sarawak mencapai pembangunan berterusan.

Selain itu katanya, ketua kaum dan barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinasihatkan agar terus bekerjasama dengan pusat khidmat termasuk agensi pelaksana supaya setiap projek yang dirancang mahupun sedang dilaksanakan dapat dipantau bersama.

“Ketua kaum perlu mengetahui spesifikasi atau skop setiap projek yang berjalan di kampung masing-masing.

“Jika pelaksanaan projek tersebut tidak mengikuti spesifikasi maka wajarlah ketua kaum menegur atau membuat aduan kepada pihak kontraktor dan agensi pelaksana atau kepada pusat khidmat.

“Apa yang penting kita mahu pastikan semua projek yang dijalankan memberi manfaat dan keselesaan kepada penduduk kampung tersebut,” ujarnya. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *