Sibu Venue Sukan Olimpik Khas Negeri Pada Julai Depan

UKAS  > Edisi-Tengah >  Sibu Venue Sukan Olimpik Khas Negeri Pada Julai Depan
0 Comments

JUMAAT, 18 MAC 2022

SIBU: Bahagian Sibu dipilih sebagai venue Sukan Olimpik Khas Negeri ke-6 bertempat yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 3 Julai 2022.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata hasil perbincangan, pihaknya bersetuju untuk melangsungkan temasya sukan itu di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di Sibu.

Menurutnya, ia satu kebanggaan bagi pihaknya selaku jawatankuasa penganjur sukan itu setelah diberi penghormatan untuk menggunakan fasiliti itu buat kali pertamanya sebaik ia dirasmikan pada Julai kelak.

“Selepas berunding, di situlah venue untuk kita melangsungkan Sukan Olimpik Khas Negeri pada 1 Julai.

“Pada 1 Julai juga, kompleks sukan itu akan dirasmikan oleh Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg).

“Jadi kita orang pertamalah kiranya. Jawatankuasa kami telah dibenarkan untuk menganjurkan aktiviti sukan untuk anak-anak khas kita,” katanya berucap dalam majlis Perasmian Persatuan E-Dok Sibu pada Jumaat.

Terdahulu, Dato Sri Fatimah telah mengadakan lawatan ke kompleks sukan berkenaan bersama dengan wakil pengurusan Amcorp Sibu Jaya, Azmi Hashim; Eddy Phuah dan Mohd Fadzil.

Temasya sukan itu mensasarkan seramai 350 hingga 400 atlet dan 300 pegawai dan sukarelawan dengan acara sukan yang dipertandingkan ialah boling, badminton, bocce, berenang, ping pong, bola sepak dan balapan dan padang.

Dalam ucapan sama, Dato Sri Fatimah berkata penjenamaan semula Persatuan e-Dok adalah selaras dengan perkembangan semasa dalam digital era.

Katanya, fungsi Persatuan eDok juga berbeza berbanding sebelum ini ketika dinamakan Persatuan IDOK.

Antara aktiviti e-Dok yang telah dilaksanakan adalah seperti, memberi motivasi pada pelajar di Sekolah Menengah Dalat dan Oya oleh graduan-graduan e-DOK mengikut bidang masing-masing.

Selain itu, persatuan itu turut menyediakan bantuan peralatan persekolahan kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu serta memberi insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang UPSR, PMR, SPM, STPM dari daerah Dalat.

Dato Sri Fatimah juga telah mengumumkan akan memberikan peruntukan sebanyak RM5,000 sebagai permulaan bagi Persatuan e-Dok menjalankan aktiviti dan program.

Pada majlis sama, Dato Sri Fatimah telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang melibatkan dua buah rumah yang berlaku di Kampung Bahagia Jaya Teku pada 1 Mac lalu.

Mangsa pertama iaitu Nur Fazli Mahdi menerima bantuan wang saku, elaun pakaian harian dan bantuan bahan binaan berjumlah RM5,300.

Manakala mangsa kedua, Taip Bus menerima bantuan wang saku, elaun pakaian harian, bantuan persekolahan dan bantuan bahan binaan berjumlah keseluruhan RM7,400.

Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sibu juga telah menghulurkan bantuan tambahan sebanyak RM900 melalui peruntukan Tabung Bantuan Segera (TBS) kepada waris mangsa yang terkorban dalam kejadian bencana iaitu Taip Bus sebagai Sumbangan Ehsan dari pihak JKM. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *