Peniaga Kecil Diseru Mendaftarkan Perniagaan Mereka

UKAS  > Edisi-Utara >  Peniaga Kecil Diseru Mendaftarkan Perniagaan Mereka
0 Comments

AHAD, 20 MAC 2022

LAWAS: Peniaga kecil diseru agar mendapatkan lesen atau permit serta mendaftarkan perniagaan mereka.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hal ini adalah untuk memudahkan Kerajaan menyalurkan sebarang bantuan kepada golongan ini.

“Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat yang terjejas disebabkan oleh COVID-19,’’ jelasnya di Program Penyaluran Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 6.0) Peniaga Kecil dan Penjaja Secara Tunai di sini pada Sabtu.

Ujar beliau, Ini ditunjukkan melalui pelancaran pakej BKSS daripada 1.0 sehingga 7.0 dengan perbelanjaan melebihi RM5.3 bilion manakala inisiatif ini diteruskan melalui pemberian BKSS 8.0 pada masa kini.

“Ini juga merangkumi bantuan secara sekaligus berjumlah RM1,500 di bawah BKSS 6.0 kepada peniaga kecil serta penjaja.

“Di daerah Lawas, bantuan baucar ini akan diserahkan secara berperingkat kepada 2,088 penerima,’’ tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu.

Pada majlis tersebut, Datuk Amar Awang Tengah telah menyampaikan baucar itu kepada 29 peniaga kecil dan penjaja yang hadir.

Turut hadir ialah Pemangku Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang, dan Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), Dato Ubaidillah Abdul Latip. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *