10 Sekolah di DUN Simanggang Terima Sumbangan Buku Dan ABM

UKAS  > Edisi-Selatan >  10 Sekolah di DUN Simanggang Terima Sumbangan Buku Dan ABM
0 Comments

ISNIN, 21 MAC 2022

SRI AMAN: Sebanyak 10 buah sekolah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang menerima sumbangan berupa buku serta Alat Bantu Mengajar (ABM) daripada SPARKS Education Plt serta PROMAC Enterprises Sdn Bhd.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pembangunan Bakat) Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis mengagihkan sumbangan berkenaan kepada guru besar serta wakil dari sekolah-sekolah tersebut pada satu majlis di SK Batu Lintang Undop baru-baru ini.

‘’Program ini adalah sejajar dengan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami untuk terus menyokong aktiviti pengajaran secara berterusan,’’ kata SPARKS Education Plt dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Jelasnya, antara objektif penganjuran program ini termasuk memberikan peluang kepada kanak-kanak kurang berkemampuan di sekolah luar bandar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan serta merangsang minat mereka untuk belajar dan membaca.

“Selain itu, ianya juga mampu menambah dan memperluaskan ilmu pengetahuan berkaitan Sains dan Matematik, sekaligus meningkatkan peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi serta mendapat pekerjaan yang baik pada masa depan,’’ tambahnya.

Manakala, PROMAC Enterprises Sdn Bhd merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak atas kolaborasi tersebut.

“Syarikat ini akan terus menyokong usaha untuk membangunkan komuniti serta pendidikan kanak-kanak,’’ katanya.

Pada majlis tersebut, sumbangan telah diagihkan kepada SK Bt Lintang Undop, SK Paku, Undop, SJK (C) Chung Hua, Batu Lintang, Undop, SK Ng Klassen, SK St Lawrence Sabu, SK Sri Aman, SJK (C) Chung Hua, Simanggang, SK St Luke, SK Abang Aing serta SK Nanga Skrang.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif SPARKS Education, Dr. Angie Garet, dan Wakil PROMAC Enterprises Sdn Bhd, Dr. Mohamad Idham Md Razak. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *