Daro Venue Pertama Persembahan Okestra Majlis Seni Sarawak 2022

UKAS  > Edisi-Tengah >  Daro Venue Pertama Persembahan Okestra Majlis Seni Sarawak 2022
0 Comments

ISNIN, 21 MAC 2022

DARO: Buat julung kalinya, Daerah Daro menjadi venue persembahan Okestra Majlis Seni Sarawak (SONS), sekali gus yang pertama dianjurkan pada tahun 2022.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, persembahan itu juga merupakan hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk merakyatkan persembahan Okestra MSS.

Katanya, Okestra SONS merupakan antara okestra yang terbesar di Malaysia dan satu-satunya okestra di bawah kerajaan negeri di Malaysia.

“Tujuan kita membawa Okestra SONS ke Pekan Daro adalah bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada orang luar bandar sekali gus juga memberi peluang kepada kumpulan Okestra mengadakan persembahan kepada penduduk luar bandar.

“Rakyat Daro pada malam ini cukup bertuah kerana diberikan peluang menyaksikan persembahan istimewa daripada kumpulan Okestra SONS,” katanya berucap pada Program Konsert Muzikal Sarawak Harmoni Pemimpin Bersama Rakyat, ‘Dekat Dihati’ di Dewan Masyarakat Daro pada Ahad.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada  Majlis Seni Sarawak (MSS) kerana memilih Daro sebagai vanue konsert muzikal ini.

Ujarnya, Program Ngelakar Seni yang diadakan pada Sabtu juga amat signifikan kepada masyarakat khususnya anak seni di Daro dan sekitarnya.

Tambah beliau, jaringan perhubungan di kawasan itu akan menjadi lebih mudah selepas ini dengan siapnya projek mega seperti pembinaan Jambatan Batang Lassa dan Batang Paloh.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board, Sharzede Datu Salleh Askor; Pemangku Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Awang Putratusrie Awang Redzuan dan Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli. – EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *