Datuk Amar Awang Tengah Menang Tanpa Bertanding Ketua Cawangan PBB DUN Bukit Sari

UKAS  > Edisi-Utara >  Datuk Amar Awang Tengah Menang Tanpa Bertanding Ketua Cawangan PBB DUN Bukit Sari
0 Comments

ISNIN, 21 MAC 2022

LAWAS: Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Bukit Sari dalam Mesyuarat Agung Perwakilan PBB Cawangan N.82 Bukit Sari pada Ahad. 

Turut menang tanpa bertanding Timbalan Ketua Cawangan Awangku Zainal Abidin dan Naib Ketua Cawangan Haris Majid serta 19 Ahli Jawatankuasa (AJK), manakala jawatan Ketua Pemuda disandang Talib Basir dan Ketua Wanita Dayangku Norli Pengiran Terjudin. 

Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih di atas komitmen semua pihak dalam menjayakan mesyuarat ini dan menyifatkan kemenangan ini adalah kemenangan untuk semua. 

Katanya, ini adalah mandat besar kepada PBB untuk memastikan Sarawak terus stabil dan rakyat terus bersatu padu dalam meningkatkan proses pembangunan, kesejahteraan hidup rakyat dan menjaga kebajikan masyarakat. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah juga berkata, Sarawak mempunyai kekuatan, semangat dan komitmen serta azam untuk menjadikan negeri ini maju menjelang tahun 2030. 

“Penting bagi kita untuk mengekalkan kestabilan politik. Dengan kestabilan politik yang ada, kerajaan akan kuat dan mempunyai dasar serta hala tuju yang jelas. 

“Inshallah, dengan terlaksananya semua kemudahan asas ini akan dapat menarik pihak swasta, pelabur sama ada dari dalam mahupun daripada luar untuk menggerakkan lagi proses pembangunan kita sekaligus meningkatkan lagi kegiatan ekonomi Sarawak,” katanya. 

Jelas beliau lagi, pada tahun 2020, Sarawak telah menerima pelaburan luar negara melebihi RM15.7 bilion dan yang tertinggi dicatatkan di Malaysia disebabkan keyakinan para pelabur akan kestabilan Sarawak. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berharap cadangan pelaburan Petrokimia Bersepadu di Lawas akan dapat dilaksanakan yang pastinya akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta meningkatkan ekonomi Sarawak. 

“Kita berharap cadangan pelaburan di Lawas ini dalam Petrokimia Bersepadu akan dapat dilaksana,” ujarnya. 

Hadir sama Setiausaha Eksekutif PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek, Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB DUN Bukit Sari Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Hj Jawa dan perwakilan PBB DUN Bukit Sari.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *