Persidangan RIB 2022 Pada 4-5 April Ini

UKAS  > Edisi-Selatan >  Persidangan RIB 2022 Pada 4-5 April Ini
0 Comments

ISNIN, 21 MAC 2022

KUCHING: ‘Rabies in Borneo (RIB) Conference 2022’ atau Persidangan Rabies Di Borneo bakal berlangsung pada 4 hingga 5 April depan di Hotel Imperial Kuching.

Dianjurkan oleh Place Borneo Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, program tersebut bertujuan menjadi platform bagi golongan pakar dari dalam dan juga luar negara berbincang mengenai pengawalan dan pencegahan wabak rabies dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), Dr. Adrian Susin Ambud memberitahu, RIB yang julung kali diadakan ini akan menumpu kepada dua pendekatan untuk pencegahan rabies iaitu kaedah saintifik (perubatan dan veterinar) serta penglibatan masyarakat setempat.

“Antara topik-topik yang bakal dibancangkan termasuk ‘Rabies Elimination: The Global Agenda’, ‘Rabies in Borneo: The Way Forward’, penubuhan ‘Immune Belt’, pengurusan kes gigitan, pemilikan haiwan secara bertanggungjawab, serta penguatkuasaan dan pelesenan,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) persidangan RIB itu pada Isnin. 

Tegas beliau, persidangan tersebut adalah salah satu langkah dalam sasaran DVSS untuk menjadikan Sarawak bebas dari wabak Rabies menjelang 2025.

“Persidangan RIB ini diharapkan dapat bantu mencari kaedah-kaedah penyelesaian yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan juga negeri Sarawak secara keseluruhannya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr. Adrian menjelaskan, sebanyak 72 lokasi di Sarawak telah diisytihar sebagai kawasan jangkitan rabies manakala 216,500 suntikan vaksin anti-rabies telah diberikan kepada haiwan setakat kini.

“Kerajaan telah memperoleh kejayaan dalam memastikan wabak ini masih dalam keadaan terkawal melalui program kesedaran, pemantauan kawasan terjejas, pelaksanaan langkah pencegahan, serta program vaksinasi anti-rabies terutamanya,” tambah beliau.  -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *