PPDK Sunflower Miri Anjur Program Stigma Masyarakat Terhadap Kanak-Kanak OKU

UKAS  > Edisi-Utara >  PPDK Sunflower Miri Anjur Program Stigma Masyarakat Terhadap Kanak-Kanak OKU
0 Comments

ISNIN, 21 MAC 2022

MIRI: Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sunflower Miri menganjurkan program ceramah Stigma Masyarakat Terhadap Kanak-kanak OKU yang dijalankan secara bersemuka di sini pada Sabtu.

Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Sunflower Miri Samson Bala Palaba berkata, program ini adalah lanjutan daripada program yang sama diadakan secara dalam talian pada 2 Oktober 2021 lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menambah, program ini bertujuan khusus untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar betul-betul memahami mengenai anak istimewa.

“Selain itu, untuk memupuk semangat yakin diri ibu bapa dan penjaga mengenalpasti punca atau perubahan tingkahlaku anak istimewa.

“ Ceramah ini juga bertujuan bagi membolehkan para ibu bapa dan penjaga serta masyarakat di luar sana, memahami cara menangani perubahan tingkahlaku luar biasa anak istimewa,”jelasnya semasa berucap dalam program tersebut.

Ujarnya lagi, sesi soal jawab juga diadakan untuk memberi ruang dan peluang para peserta mengemukakan soalan berkaitan sikap dan tingkah laku anak-anak mereka.

“Dengan ruang dan peluang ini, adalah diharapkan semua peserta dapat menambah ilmu dan kemahiran masing-masing dalam mendepani kerenah dan sikap khususnya berhubung perubahan tingkahlaku yang luar biasa yang dialami oleh anak-anak istimewa ini,” ujar Samson lagi.

Hadir dalam program berkenaan adalah Penyelaras PPDK Bahagian Miri,Unit Orang Kurang Upaya (OKU) Pejabat Kebajikan Bahagian Miri Awang Abdul Hamid Awang Ibrahim, Pakar Psikologi Klinikal, Penceramah Dr Diana Wee, dan Setiausaha PPDK Sunflower Miri Stanly Aba.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *