MIPD Teliti Masalah Laluan Cetek Ke Pelabuhan Miri

UKAS  > Edisi-Utara >  MIPD Teliti Masalah Laluan Cetek Ke Pelabuhan Miri
0 Comments

SELASA, 22 MAC 2022

MIRI: Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) akan meneliti masalah laluan masuk yang cetek ke Pelabuhan Miri di Kuala Baram yang menjejaskan operasi di pelabuhan itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendekatan holistik dan strategik perlu dilakukan bagi mengatasi masalah yang telah lama berlarutan tersebut.

“Adalah sesuatu yang sukar diterima bagi Pelabuhan Miri yang mempunyai RM250 juta nilai pelaburan apabila kapal terpaksa berlabuh di sepanjang Sungai Miri.

“Kita akan membawa masalah ini yang perlu melibatkan politik kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat mengenai Pelabuhan Miri yang disampaikan Pengurus Besar pelabuhan itu, Serawa Budol di Pelabuhan Miri pada Ahad.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak itu menambah, penyelesaian kepada masalah tersebut akan menarik lebih banyak kapal untuk berlabuh di Pelabuhan Miri.

“Mereka akan membawa pelaburan, meningkatkan peluang perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini adalah selaras dengan visi Sarawak mencapai status negeri maju pada tahun 2030,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa pengurusan pelabuhan perlu berdaya saing, kreatif, inovatif dan mempunyai teknologi terkini untuk mendapat tempat terbaik dalam persaingan terutamanya dengan pelabuhan lain seperti di Labuan dan juga Semenanjung Malaysia.

Beliau turut memberi jaminan kementeriannya akan memberi sokongan dan melihat kemungkinan untuk menswastakan pelabuhan di mana pelabuhan yang diswastakan dapat berfungsi dengan lebih baik. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *