Nancy Shukri Kekalkan Jawatan Ketua Cawangan PBB DUN Batu Kitang

UKAS  > Edisi-Selatan >  Nancy Shukri Kekalkan Jawatan Ketua Cawangan PBB DUN Batu Kitang
0 Comments

SELASA, 22 MAC 2022

KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia Dato Sri Nancy Shukri mengekalkan jawatan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang selama dua penggal selepas menang tanpa bertanding dengan mendapat pencalonan daripada 18 ranting PBB Cawangan Batu Kitang.

Untuk rekod, beliau mula menjawat memegang jawatan Ketua Cawangan PBB DUN Batu Kitang sejak tahun 2017. 

Menurut Dato Sri Nancy, kemenangan tanpa bertanding ini merupakan bukti kepercayaan ahli-ahli parti PBB untuk terus menggalas tanggungjawab dalam memimpin saf kepimpinan PBB Batu Kitang dan berazam untuk terus meningkatkan lagi dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada ahli-ahli parti.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga parti PBB Cawangan Batu Kitang yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk terus menggalas tanggingjawab ini. 

“Ini bukan sesuatu mudah kerana menjadi seorang pemimpin parti haruslah sentiasa bertanggungjawab dan dedikasi dalam melaksanakan apa jua agar Parti PBB ini sentiasa relevan sepanjang masa”, katanya ketika berucap selepas diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Ketua Cawangan PBB DUN Batu Kitang pada Ahad. 

Dalam itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, generasi muda Sarawak yang akan menjadi pelapis kesinambungan tampuk pimpinan negeri ini perlu bersiap sedia untuk memastikan sasaran Sarawak menuju ke arah negeri maju pada tahun 2030 tercapai.

“Cabaran utama ialah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang semakin dekat ini dengan penglibatan anak muda berumur 18 tahun sebagai pengundi. 

“Untuk itu juga, kita perlu mengambil kira keputusan kerajaan yang membenarkan anak-anak Sarawak berumur 18 tahun, turun mengundi bagi memilih tampuk pimpinan Sarawak. 

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg dan barisan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga telah menyatakan sokongan bagi menyelaraskan Perlembagaan Negeri Sarawak dengan pindaan Perkara 47(b) dan Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan had umur kelayakan untuk dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat atau untuk mengundi,” ujarnya. 

Tambah Dato Sri Nancy lagi, parti PBB juga akan membuat pindaan perlembagaan parti dengan mewujudkan sayap baharu buat golongan belia berumur 18 hingga 28 tahun juga akan dibuat pada Jun ini nanti.

“Saya ingin berpesan agar kita bersiap sedia dengan perkembangan ini dan memastikan apa jua aktiviti dan program PBB di Cawangan Batu Kitang perlu melibatkan anak-anak muda bagi menaikkan semangat dan menggalakkan mereka untuk bersama-sama menyumbang idea-idea baru yang bagi membangunkan negeri ini’, tambahnya lagi.

Beliau ketika ini memegang jawatan sebagai Naib Ketua Wanita I Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak.

Sementara itu, kemenangan itu turut menyaksikan Shamsudin Unai menang bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Cawangan manakala Ketua Wanita PBB Naemah Salleh dan Ketua Pemuda PBB DUN Batu Kitang Yusri Muhammad juga menang tanpa bertanding.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *