Sarawak Bina ART Kedua Hubungkan Bintulu Dengan Tanjung Kidurong

UKAS  > Edisi-Utara >  Sarawak Bina ART Kedua Hubungkan Bintulu Dengan Tanjung Kidurong
0 Comments

SELASA, 22 MAC 2022

BINTULU: Sistem Transit Aliran Automasi (ART) akan dibina di Bintulu selepas Kuching.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang berkata, sistem pengangkutan tersebut kelak mempermudah dan melicinkan pergerakan antara bandar dan pusat industri di Kidurong. 

Menurutnya, beliau telah mengasingkan peruntukan bagi membina ART yang akan dibina dalam masa lima tahun ini.

“Dengan meningkatnya aktiviti di Tanjung Kidurong, mahu tidak mahu kita perlu memperbaiki sistem pengangkutan awam di antara bandar Bintulu dengan Tanjung Kidurong dan sistem ini hendaklah kita modenkan dengan pembinaan laluan ART untuk memudahkan dan melicinkan pergerakan antara bandar dan pusat industri di Kidurong,” katanya. 

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 500 jemputan dalam Majlis Apresiasi Lembaga Kemajuan Bintulu 2022 di Dinner World Bintulu pada Selasa. 

Dalam perkembangan sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga menjelaskan Bintulu bukanlah bandar industri semata-mata kerana masih mempunyai Taman Negara Similajau dengan pantai menarik yang menjadi pendaratan penyu dan hutan dara yang menyimpan banyak khazanah boleh dipromosikan menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara. 

Terdahulu, beliau memberitahu Tanjung Kidurong akan menjadi hab pengeluaran bahan petrokimia dari sumber gas asli luar pantai  yang dimiliki sepenuhnya Kerajaan Sarawak dan bakal menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen. 

“Juga sedang dibangunkan kerja-kerja awal hab perubatan iaitu pelaburan yang datang dari Amerika Syarikat. 

“Untuk fasa pertama dengan pelaburan RM200 juta dans elepas itu akan menyusul fasa kedua dengan pelaburan RM800 juta di tempat yang sama dan akan mewujudkan pekerjaan dalam masa empat tahun ini kira-kira 15,000 orang,” ujarnya. 

Jelas beliau lagi, ini merupakan satu petanda pelabur swasta dari luar negara mempunyai keyakinan kepada dasar ekonomi yang dibawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. 

“Bintulu juga bakal menjadi pusat pengeluaran gas hidrogen yang pertama di Malaysia dan terkemuka di Asis Tenggara iaitu dengan mengeluarkan anggaran 100,000 tan hidrogen dan membolehkan pelabur seperti Samsung dari Korea dan Sumitomo dari Jepun membeli balik hidrogen ini,” jelasnya lagi.

Hadir sama Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Pejabat Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Ahli Parlimen Bintulu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Dato’ Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, ADUN Jepak Datuk Talip Zulpilip, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Residen Bahagian Bintulu Datuk Jack Aman Luat, Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan dan Pengurus Besar Datu Muhammad Yakup Kari. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *