Solat Jemaah Dibenar Tanpa Penjarakan Fizikal Bermula 1 April

UKAS  > Edisi-Selatan >  Solat Jemaah Dibenar Tanpa Penjarakan Fizikal Bermula 1 April
0 Comments

SELASA, 22 MAC 2022

KUCHING: Solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau di negeri ini dibenarkan berkuatkuasa 1 April 2022.

Majlis Islam Sarawak (MIS) memberitahu, kebenaran ini adalah selaras dengan situasi semasa wabak COVID-19 di bawah Fasa Peralihan Ke Endemik COVID-19.

“Majlis Islam Sarawak bersetuju memutuskan solat Jumaat, solat fardhu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat di masjid dan surau adalah dibenarkan tanpa penjarakan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin.

Sementara itu, MIS juga telah memutuskan dan membenarkan beberapa perkara lain namun perlu mengamalkan penjarakan fizikal.

“Semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, qiamullail, sahur, iktikaf, khatamal Al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

“Selain itu, penganjuran aktiviti sosial yang sesuai diadakan di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.

“Manakala, pengurusan dan pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan COVID-19 adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal,” jelas MIS lagi.

MIS terus mengingatkan rakyat untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) utama COVID-19 sebagaimana yang telah ditetapkan kerajaan.

 “Prosedur Operasi Standard utama COVID-19 yang perlu dipatuhi adalah menggunakan pelitup hidung dan mulut sepanjang masa; mendaftar kehadiran melalui Mysejahtera sebelum masuk ke dalam masjid dan surau; dan digalakkan membawa sejadah atau alas sujud sendiri.

“Di samping itu, jamuan adalah dibenarkan namun perlu mengikut SOP COVID-19 semasa; dan mana-mana individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin COVID-19 oleh KKM atau yang mempunyai gejala demam, selsema, batuk atau sesak nafas adalah dilarang menghadiri solat dan semua aktiviti lain di masjid dan surau,” jelasnya lagi.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *