69.3 Peratus Kanak-Kanak Di Sarawak Sudah Divaksinasi Menerusi PICKids

UKAS  > Edisi-Utama >  69.3 Peratus Kanak-Kanak Di Sarawak Sudah Divaksinasi Menerusi PICKids
0 Comments

RABU, 23 MAC 2022

KUALA LUMPUR: Seramai 198,095 atau 69.3 peratus kanak-kanak dalam lingkungan 5 hingga 11 tahun di Sarawak sudah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 setakat 22 Mac lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pemberian vaksin tersebut dilakukan di sekolah, klinik kesihatan, dan juga hospital termasuk fasiliti swasta melalui Program Vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun (PICKids) sejak 3 Februari lepas.

“Sarawak telah mencapai tahap paling tinggi berbanding negeri lain yang menjalani PICKids ini,’’ katanya sebagai menjawab Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelas beliau, seramai 286,000 daripada golongan tersebut telah didapati layak untuk mendapat vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, Dato’ Dr. Noor Azmi memuji komitmen kerajaan negeri serta pasukan-pasukan dari Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia di Sarawak atas usaha mereka untuk memastikan PICKids dijalankan dengan jayanya terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Tambahan juga, kejayaan ini turut dicapai kerana masalah kesangsian serta keraguan ibu bapa terhadap vaksin adalah sangat kurang di Sarawak,’’ ujarnya lagi. -Edisi UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *