Siapkan PPRMS Ikut Masa Ditetapkan

UKAS  > Edisi-Utara >  Siapkan PPRMS Ikut Masa Ditetapkan
0 Comments

KHAMIS, 24 MAC 2022

TATAU: Penduduk rumah panjang yang menerima bantuan Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) diingatkan menyiapkan rumah mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan. 

Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus Datuk John Sikie Tayai, ini membolehkan peruntukan yang sama diberikan kepada pemohon lain bagi membaik pulih rumah mereka untuk kediaman yang selamat dan lebih selesa. 

“Setiap rumah panjang yang dipilih dalam mendapatkan bantuan PPRMS ini perlu menyiapkannya dalam tempoh tiga bulan. 

“Mereka juga diingatkan menyedia dan memberikan laporan projek siap kepada Pusat Khidmat DUN Kakus untuk rekod dan membolehkan projek lain dilaksanakan,” katanya semasa berucap menyerahkan simbolik Bantuan PPRMS Tahun 2022 di Pejabat Daerah Tatau, Bintulu pada Selasa. 

Seramai 179 orang isi rumah yang terdiri daripada 11 buah rumah panjang dan seorang penduduk telah menerima bantuan PPRMS ini sebanyak RM465,400. 

Untuk tahun 2022 ini, setiap pemohon akan diberikan peruntukan sebanyak RM2,600 sepintu. 

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Tatau Calvin Ligong.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *