Kerajaan Sarawak Komited Tingkatkan Penyampaian Perkhidmatan Pelabuhan

UKAS  > Edisi-Utara >  Kerajaan Sarawak Komited Tingkatkan Penyampaian Perkhidmatan Pelabuhan
0 Comments

AHAD, 27 MAC 2022

BINTULU: “Kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang diberikan pelabuhan yang bermatlamat mencari dan memastikan penyampaian perkhidmatan kargo yang cekap dan secara positif dengan tujuan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan atau pengguna pelabuhan,” demikian menurut Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi yang mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa berucap merasmikan penutupan Makmal Penambahbaikan Operasi Pelabuhan Samalaju di New World Suiteels Bintulu pada Jumaat. 

Jelas beliau lagi, industri ini sangat kompetitif dan dinamik dengan pengirim dan ejen sangat memerlukan maklumat dan persediaan yang mencukupi untuk mengelakkan timbulnya sebarang permasalahan.

“Oleh itu, adalah penting bagi kedua-dua pihak (pengendali pelabuhan, pihak berkuasa pelabuhan dan pengguna/pelabur pelabuhan) untuk bekerja rapat dan menyediakan sumber yang diperlukan, tenaga kerja dan penyelarasan yang dirancang dengan baik untuk menyelesaikan aktiviti di pelabuhan dalam jangka masa yang dijadualkan,” jelasnya. 

Ujar Dato Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, pada masa yang sama Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan Lembaga Pelabuhan Samalaju akan sentiasa memantau dan mengambil sebarang isu atau kebimbangan yang dibangkitkan pengguna pelabuhan atau mana-mana pihak dan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

Mengakui tugas yang digalas itu adalah besar, sokongan dan kerjasama semua pihak akan  dapat  menyelesaikan  dan mengatasi  sebarang isu atau masalah yang mungkin timbul.

Turut sama hadir Setiausaha Tetap MIPD yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Samalaju Datu Safri Zainudin, ADUN Tanjong Batu yang juga Ahli Lembaga Pelabuhan Samalaju Johnny Pang Leong Ming, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu yang juga Ahli Lembaga Pelabuhan Samalaju Datu Muhamad Yakup Kari, Penyelaras Negeri untuk Pihak Berkuasa Pelabuhan Samalaju Steven Chin Hui Seng dan Ketua Pegawai Operasi Samalaju Industrial Port Sdn Bhd Eizam Ismail.-EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *