Mentransformasikan Perkhidmatan Kepolisan Sejajar Dengan Peredaran Masa

UKAS  > Edisi-Utara >  Mentransformasikan Perkhidmatan Kepolisan Sejajar Dengan Peredaran Masa
0 Comments

AHAD, 27 MAC 2022

BINTULU: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan antara barisan hadapan yang mempertahankan ketenteraman negara, bermula dari mengawal keselamatan dalam negeri hinggalah membanteras jenayah dan keganasan antarabangsa seperti kegiatan subversif dan kumpulan militan yang lain. 

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, tidak dapat dinafikan bahawa PDRM merupakan satu institusi keselamatan yang ulung dan penting ke arah menentukan keamanan dan kedaulatan negara.

“Justeru, saya menyeru setiap anggota dan pegawai PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk sama-sama melakukan transformasi terhadap perkhidmatan kepolisan sejajar dengan peredaran masa.

“Sesungguhnya, kepesatan Revolusi Industri 4.0 memerlukan pasukan kita bersedia dari segi ilmu pengetahuan dan kepekaan terhadap isu semasa untuk berhadapan dengan kepelbagaian jenis jenayah bukan sahaja jenayah secara fizikal tetapi juga jenayah cyber yang lebih luas jangkauan pengaruhnya,” katanya semasa berucap dalam sambutan Hari Polis Ke-215 ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ di Padang Kawad IPD Bintulu pada Jumaat. 

Jelas Superintenden Zulkipli lagi, angka 215 itu menunjukkan jangka usia PDRM yang begitu matang mantap dan kukuh. 

“Oleh itu, seharusnya pasukan PDRM menonjolkan kecemerlangan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. 

“Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat untuk terus menyokong dan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam usaha mewujudkan persekitaran aman sejahtera di negara ini amnya serta di Bintulu khususnya,” jelasnya. 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, ADUN Tanjong Batu Jonny Phang Leong Ming, Residen Bintulu Datu Jack Aman,  Pengerusi Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Abdul Kadier Sahib, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi @ Mohd Irwan Abdullah dan Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu DSP Dennies Bunyam. -EDISI UKAS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *